Sunday 7 August 2016

Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta yang ditawarkan untuk Pembangunan Industri Pelancongan

Sejak industri pelancongan mendapat tempat di dalam dasar pembangunan negara, pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak kerajaan bagi mewujudkan sistem sokongan yang mampan terhadap pembangunan industri ini. Dalam Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975, sektor pelancongan telah dikenalpasti sebagai antara sektor penyumbang dalam pembangunan ekonomi negara. Kerajaan telah menggariskan beberapa inisiatif bagi menggalakkan industri ini di bawah Rancangan Malaysia Kedua, iaitu;
-       Mengadakan kawasan-kawasan pelancongan baharu
  •  Mengkaji kemungkinan-kemungkinan pelancongan (menerusi penubuhan Lembaga Penggalakan Pelancongan), menumpukan operasi di luar negara di samping dalam Negara
  •  Membangunkan fasiliti yang akan menyokong industri pelancongan, seperti lapangan terbang antarabangsa dan menubuhkan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System (MAS)
(EPU U. P., Rancangan Malaysia Kedua, 1971 - 1975)
Pesawat MAS

Setelah kejayaan dicapai menerusi Rancangan Malaysia Kedua,  kerajaan terus menumpukan perhatian yang lebih kepada sektor pelancongan di dalam Rancangan Malaysia Keempat 1981 – 1985, di mana perhatian lebih serius diberikan terhadap aktiviti pelancongan domestik. Menerusi galakan kerajaan, pada masa tersebut bilangan hotel untuk kemudahan industri pelancongan telah meningkat dari 766 buah pada tahun 1976 kepada 835 buah pada tahun 1980. Pelbagai galakan diberikan kepada pengusaha dan pengendali pelancongan termasuklah pemberian insentif, pengecualian cukai, dan juga pemberian status perintis. Dalam pada itu, perhatian juga mula diberikan kepada aspek latihan profesional dalam bidang perhotelan dan kulinari, menerusi penubuhan Hotel & Tourism Management Institute oleh Pusat Daya Pengeluaran Negara (kini Perbadanan Produktiviti Malaysia) dan tawaran pengajian Hotel dan Katering oleh MARA. (EPU U. P., Rancangan Malaysia Keempat, 1981-1985)

Seterusnya, menerusi Rancangan Malaysia Kelima 1986 – 1990, kerajaan mendapati bahawa Malaysia belum cukup dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan antarabangsa dan gesaan dibuat bagi mempromosikan pelancongan di negara ini dengan lebih agresif. Dalam RMK 4, Tourism Development Corporation membelanjakan RM58.4 juta bagi tujuan promosi, merangkumi promosi menerusi rencana-rencana dalam majalah, iklan di televisyen, dokumentari, pameran, seminar, dan bengkel. Galakan terus diberikan kepada pengendali sektor pelancongan, seperti pengurangan tarif elektrik juga dikurangkan kepada pengendali hotel, dan satu skim pembiayaan (New Investment Fund) diperkenalkan untuk tiga sektor utama, termasuk sektor pelancongan. Di peringkat kabinet, Jawatankuasa Pelancongan ditubuhkan bagi merencana garis panduan dan hala tuju pelancongan menerusi kerjasama pihak kerajaan dan swasta. Manakala bagi aspek keselamatan, Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan Unit Polis Pelancong yang dikhaskan untuk menjaga keselamatan para pelancong. (Unit Perancang Ekonomi Negara, 1986 - 1990)



Sektor pelancongan mendapat penekanan khusus dalam Rancangan Malaysia Keenam 1990 – 1995, menerusi pengenalan Kempen Melawat Malaysia / Visit Malaysia Year 1990. Berkesinambungan daripada Rancangan Malaysia Kelima yang cuba menjenamakan pelancongan Malaysia, kini sektor pelancongan di negara ini mula menampakkan fokusnya, terutama kepada keunikan yang hanya boleh didapati di Malaysia untuk ditawarkan kepada pelancong. Fokus diberikan pada warisan kebangsaan, kepelbagaian budaya, dan keunikan alam semulajadi. Oleh itu, kempen Tahun Melawat Malaysia tahun 1990 telah memperlihatkan kejayaan yang cemerlang dan diteruskan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia tahun 1994 pula.

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh 1996 – 2000, industri pelancongan di Malaysia didapati semakin menghampiri kematangan. Fasiliti pelancongan telah dibangunkan dan negara kini sudah mula dikenali dunia. Penawaran produk pelancongan baharu diperlukan untuk menarik lebih ramai pelancong. Oleh itu, industri pelancongan mula meneroka produk-produk baharu, seperti pelancongan pelajaran, eko pelancongan, agro pelancongan, dan pelancongan sukan. Karnival Beli-belah mula dianjurkan setiap penghujung tahun, dan penganjuran acara peringkat antarabangsa seperti Flora Fest, Malaysia Fest, Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) mula dipergiatkan. Pelancongan di Malaysia juga dipromosikan menerusi slogan Malaysia Truly Asia, yang diwar-warkan ke seluruh dunia, bagi menonjolkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. (EPU U. P., Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996 - 2000)
 
Sidang media pengumuman LIMA 2017 yang bakal berlangsung pada 23 - 25 Mac 2017

Memasuki Rancangan Malaysia Kelapan 2001 – 2005, kerajaan terus memandang serius sumbangan industri pelancongan, dan mula menumpukan kepada pelancongan domestik. Kempen Cuti-cuti Malaysia mula diperkenalkan, dan turut melibatkan kempen melawat negeri-negeri, seperti Tahun Melawat Selangor 2000 dan Tahun Melawat Perak 2001. Sehubungan dengan itu, sebuah badan pelancongan peringkat negeri, iaitu Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) ditubuhkan pada tahun 2002. Meskipun melalui era ketidakstabilan politik serantau dan ancaman wabak SARS, industri pelancongan terus dirancakkan dengan pengenalan program Malaysia Rumah Keduaku, Malaysia my Second Home (MM2H) dan ketibaan pelancong juga turut disemarakkan dengan pengenalan pakej penerbangan pelancongan mudah dan ringkas oleh syarikat penerbangan tambang murah Air Asia. (EPU U. P., Rancangan Malaysia Kelapan, 2001 - 2005)



Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010, fokus diberikan terhadap usaha pembangunan pelancongan mampan. Usaha tersebut didokong menerusi pengukuhan peranan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan juga penekanan terhadap penawaran produk-produk pelancongan yang berpotensi, termasuk mempromosi lokasi-lokasi menarik untuk penggambaran, terutama di peringkat antarabangsa. Promosi berterusan, dan bertumpu kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia tahun 2007 yang turut meraikan Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan negara. Mekanisme Akaun Satelit Pelancongan (TSA) diperkenalkan, bagi mengira sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pendapatan negara. (EPU U. P., Rancangan Malaysia Kesembilan, 2006 - 2010)

Seterusnya, menjelang Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011 - 2015, Malaysia didapati telah berada di kedudukan ke-16 dari segi pendapatan pelanconganan dan menguasai hampir 2% daripada syer pasaran global pada tahun 2008. Industri pelancongan menggaji 1.7 juta pekerja atau hampir 16% daripada jumlah guna tenaga, dan ntara tahun 2006-2009, pendapatan industri pelancongan meningkat sebanyak 67.1% kepada RM53.4 bilion. Ketibaan pelancong meningkat sebanyak 43.6% kepada 23.6 juta orang. Rancangan kali ini mensasarkan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia supaya menjadi antara 10 negara teratas dari segi pendapatan pelancongan global. Usaha diperhebat bagi menambahbaik produk pelancongan sedia ada mengikut kluster pelancongan berfokus serta menambahbaik penyelenggaraannya; membangunkan produk pelancongan baharu yang ikonik iaitu Kidzania dan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Legoland Malaysia di Iskandar Malaysia, Johor; menjajar semula aktiviti promosi dan pengiklanan yang menumpukan kepada pasaran utama di Rusia, India, China dan Timur Tengah; seterusnya memperkenalkan pensijilan produk dan aktiviti pelancongan. (EPU U. P., Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2011 - 2015)


Program Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan oleh kerajaan turut menyenaraikan sektor pelancongan dalam Program Transformasi Ekonomi Negara. Program ini menetapkan 12 sasaran utama, yang merangkumi kluster destinasi membeli-belah dengan mempertingkat kawasan membeli-belah bebas cukai, menjadikan Bukit Bintang sebagai lokasi membeli-belah utama, membina Premium Outlet, memperkukuh pelancongan berasaskan alam semulajadi, menawarkan pelancongan pelayaran mewah, pelancongan golf, spa, pelancongan perniagaan, menambah-baik perkhidmatan bidang perhotelan dan lain-lain. (ETP ANNUAL REPORT , 2014)

Halangan / Cabaran Industri Pelancongan

Tahun 2015 memperlihatkan penurunan dari sudut kiraan jumlah pelancong ke negara ini. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, jumlah ketibaan pelancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4 juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang tahun lepas menjadikan penurunan pendapatan sebanyak 4.0 peratus daripada sektor ini. Antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca penurunan prestasi ini termasuklah faktor kelembapan ekonomi dunia dan cabaran yang melibatkan bencana alam (banjir besar pada penghujung tahun 2014 dan gempa bumi di Ranau pada bulan Jun 2015), faktor keselamatan dan amaran perjalanan ke bahagian Tenggara Sabah, serta kesan lanjutan tragedi MH370 dan MH17. (PEMANDU, 2016)




Hasil daripada laporan Program Transformasi Negara tersebut, dapat disimpulkan bahawa halangan dan cabaran terhadap industri pelancongan boleh timbul daripada  pelbagai faktor. Halangan dan cabaran tersebut merangkumi faktor semulajadi yang sukar dikawal seperti kesan bencana, suasana ekonomi global, keselamatan dalam negara, serta tragedi dan imej negara. Halangan dan cabaran ini perlu dihadapi dan ditangani dengan bijak. Contohnya, apabila ekonomi global mengalami pertumbuhan yang lembab, sektor pelancongan negara boleh mempromosikan pelancongan beli-belah dan pelancongan kesihatan. Kedua-dua jenis pelancongan ini boleh mengambil manfaat daripada kejatuhan nilai mata wang negara, kerana pelancong asing bakal menikmati pembelian / perkhidmatan yang baik pada nilai tukaran yang rendah. Halangan dan cabaran daripada faktor semulajadi seperti bencana dan tragedi mungkin lebih sukar, kerana membabitkan pemulihan imej negara. Pengurusan krisis yang baik dan bantuan promosi berterusan perlu bagi mengembalikan keyakinan pelancong terhadap industri pelancongan negara. Setakat ini, pertumbuhan sektor ini sentiasa didokong oleh usaha promosi berterusan oleh pihak kerajaan dan agensi terlibat.

Rujukan Kepentingan dan Sumbangan Industri Pelancongan Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara

Tidak dapat dinafikan bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar terhadap pembangunan ekonomi negara, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Menerusi sumbangan secara langsung, industri pelancongan dilaporkan telah menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM72 bilion pada tahun 2014, dan seterusnya meletakkan Malaysia di tangga ke-13 dari segi pendapatan pelancongan antarabangsa dan tangga ke-12 dari segi ketibaan pelancong antarabangsa menurut laporan United Nation World Tourism Organization, UNWTO (Saeril, 2015).   

Kepentingan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara boleh dilihat menerusi penekanan yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap sektor pelancongan sejak awal kemerdekaan lagi. Sektor pelancongan juga mempunyai platform khusus di dalam Program Transformasi Negara yang digerakkan oleh Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia. Pelan ini mensasarkan sejumlah 36 juta pelancong dan sebanyak RM 168 bilion pendapatan pelancongan menjelang tahun 2020. Sektor pelancongan telah memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP) apabila sektor ini muncul sebagai penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014. Sektor pelancongan juga secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun 2014 dengan menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan. Pada tahun 2015, sektor pelancongan terus menunjukkan peningkatan dengan menjadi penyumbang pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan. (Editor, 2016).

Industri pelancongan kini dilihat sebagai industri pemangkin kepada perkembangan sektor-sektor lain yang berkaitan, kerana pelaburan yang dibuat bagi membangunkan industri ini juga sebenarnya menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan dalam negara. Malah, industri pelancongan juga mewujudkan banyak peluang-peluang pekerjaan. Pada tahun 2014, industri pelancongan dilaporkan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.77 juta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan sebanyak 19.4 bilion pelaburan (BERNAMA, 2015).

Tahap pembangunan industri pelancongan

Penawaran lokasi pelancongan bermula dengan penawaran destinasi pelancongan semula jadi, lokasi bersejarah dan juga mempunyai nilai warisan. Kini, dengan kepesatan pembangunan di era globalisasi, Industri pelancongan telah berkembang pesat dan menjadi suatu industri berbentuk multidimensi. Pelbagai bentuk kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di bawah payung industri pelancongan. Antaranya termasuklah pelancongan perniagaan bagi mereka yang melancong sambil berurus niaga, pelancongan kesihatan bagi mereka yang melancong sambil mendapatkan khidmat perawatan perubatan, pelancongan sukan kepada mereka yang melancong sambil bersukan, dan lain-lain. Secara dasarnya, apa sahaja yang boleh menarik minat pengunjung boleh ditawarkan sebagai tarikan pelancongan.
 
Poster 'Picturesque Malaya' dicetak pada tahun 1930-an di Singapura. sumber: http://www.malaysiadesignarchive.org/ 


Tarikan negara ini sebagai destinasi pelancongan telah bermula sejak zaman pentadbiran Inggeris lagi. Malaya dipromosikan sebagai sebuah negara yang indah dan mengalami musim panas sepanjang tahun - sesuatu yang tidak dapat dinikmati oleh masyarakat Inggeris di tempat asal mereka. Cara hidup masyarakat yang unik dan pelbagai juga turut dipromosikan sebagai daya penarik kepada pelancong luar. Setelah Merdeka, kerajaan yang ditubuhkan memberi penekanan terhadap pembangunan dan menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum terlebih dahulu. Setelah fasa pembangunan sebuah negara ditangani dan kestabilan dicapai, penekanan mula diberikan terhadap industri pelancongan. Bab XI dalam Rancangan Malaysia Kedua (RMK 2), 1971 – 1975 telah menggariskan pelancongan sebagai salah satu industri yang mendapat penekanan khusus, di samping perdagangan, perlombongan dan pembinaan. RMK 2 turut memperkenalkan Dasar Pelancongan, di mana beberapa strategi dirangka untuk menggalakkan perkembangan industri pelancongan negara. Penekanan khusus ini diberikan berdasarkan laporan peningkatan pelancong dari 23,000 orang pada tahun 1961 kepada 77,000 orang pada tahun 1970, hasil dari pembangunan infrastruktur yang dicapai menerusi Rancangan Malaysia Pertama 1966 – 1970. (EPU, Rancangan Malaysia Kedua, 1971 - 1975).



Setelah itu, sektor pelancongan terus mendapat tempat di dalam rancangan-rancangan pembangunan negara, terutama selepas penubuhan Tourism Development Corporation, TDC pada tahun 1972. Peningkatan jumlah pelancong kepada 2,031,835 orang pada tahun 1980 (EPU, Rancangan Malaysia Keempat, 1981-1985) menerusi usaha promosi oleh TDC bersama Malaysia Airlines (MAS) telah membuktikan bahawa industri pelancongan yang dikendalikan secara sistematik dan berfokus boleh membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara. Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap industri ini, terutama dalam rancangan-rancangan pembangunan negara.

Tahap pencapaian industri pelancongan di Malaysia boleh dilihat menerusi jumlah kehadiran pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Antara penanda aras yang boleh digunakan termasuklah kejayaan program Tahun Melawat Malaysia yang dianjurkan pada tahun 1990, 1994, 2007 dan 2014. Kesemua kempen Tahun Melawat Malaysia tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan dinanti-nantikan oleh para pelancong seluruh dunia. Terkini, kempen Tahun Melawat Malaysia tahun 2014 telah berjaya menarik seramai 27.4 juta pelancong, dengan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. (Saeril, 2015).








Pengenalan: Apa itu industri pelancongan?

Pelancongan merupakan industri penting di Malaysia. Sejak awal lagi, pihak kerajaan memandang serius perkembangan industri ini di negara kita kerana sumbangan sektor ini yang sangat besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Di dalam pentadbiran kerajaan, Jabatan Pelancongan telahpun mula diwujudkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kedua tahun 1971 – 1975, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang mendapat penekanan khusus dengan peruntukan tertentu, dan akhirnya pada tahun 1987, Jabatan Pelancongan dinaiktaraf kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, diketuai oleh YB Tan Sri Dato’ Sabbaruddin Chik. (Portal Rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, 2015).

Bukan hanya di Malaysia, malah banyak negara-negara luar juga memberi penekanan khusus terhadap industri ini, kerana industri pelancongan yang diselenggarakan dengan baik boleh menjamin penjanaan ekonomi yang lumayan kepada negara tersebut, terutama bagi pelancongan yang melibatkan pelancong dari luar negara. Kemasukan para pelancong luar meningkatkan kadar tukaran asing dan pastinya memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, di peringkat global, industri pelancongan didokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) / United Nation (UN) menerusi organisasi United Nation World Tourism Organization (UNWTO). Organisasi peringkat global ini dianggotai oleh 157 buah negara dan berfungsi memberi sokongan terhadap pembangunan ekonomi menerusi industri pelancongan. United Nation World Tourism Organization, UNWTO turut menggariskan Kod Etika Pelancongan Global untuk dipatuhi oleh setiap negara ahli. 

Logo UNWTO. sumber: http://www2.unwto.org/
 APA ITU INDUSTRI PELANCONGAN?

Menurut (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2008), istilah pelancongan merujuk kepada: 1. perihal melancong, 2. perihal orang me­lancong dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya. Manakala melancong pula bermaksud melawat sambil melihat-­lihat (bersenang-senang). Bagaimanapun, menurut (Cooper, 2005) Pelancongan juga boleh didefinisikan sebagai satu kegiatan multidimensi dan pelbagai yang menyentuh aspek kehidupan dan aktiviti ekonomi. Malah, pelancongan tidak semuanya bertujuan untuk keseronokan atau berhibur tetapi juga merangkumi pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa industri pelancongan merupakan suatu industri yang menawarkan kemudahan dan perkhidmatan kepada orang ramai untuk melancong. Industri pelancongan bukan sahaja melibatkan ketibaan pelancong dari luar, malah luar negara. Di Malaysia, industri pelancongan adalah di bawah seliaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan di sokong oleh agensi-agensi penggalakan pelancongan yang ditubuhkan secara berperingkat mengikut keperluan.